Sekitar tahun 1490 di Jerman, ada dua artis muda yang baru ingin bertapak dan berkawan rapat. Albrecht Durer dan Franz Knigstein sangat miskin dan tidak mampu membayar bagi mendapatkan latihan kesenian yang baik. Kerana terdesak, mereka membuat keputusan untuk mencabut undi bagi menentukan siapa di antara mereka yang akan pergi ke Akademi Kesenian, sementara seorang lagi bekerja untuk menyaranya. Mereka kemudian akan bertukar tempat supaya kawan kedua dapat menyertai latihan. Abrecht memenangi cabutan dan pergi untuk belajar dengan beberapa artis paling terkenal di negara Jerman sementara Franz bekerja keras di lombong-lombong berdekatan yang sejuk dan basah untuk menyara kedua-dua mereka.
Hasil kesenian Albrecht ternyata sensasi, malah lebih baik daripada hasil kesenian profesor beliau. Selepas beliau lulus dan kembali ke kampungnya, beliau mampu untuk menyara Franz supaya mengikuti jejaknya. Namun beliau terkejut apabila mengetahui bahawa kerja buruh kasar yang berat di dalam lombong-lombong yang dingin dan berbahaya telah merosakkan tangan Franz buat selama-lamanya. Jari-jemarinya telah patah dan artritis menyebabkannya keras dan sakit. Dia telah mengorbankan impian sendiri demi kawannya.
Suatu hari, Albrecht melihat Franz berlutut dengan menyatukan tangannya yang bergerutu di dalam doa. Dengan cepat, dia melakar tangan-tangan yang disatukan itu dan menghasilkan gambar ‘Tangan Yang Berdoa’ yang seterusnya menjadi terkenal di seluruh dunia, dan biasa dilihat oleh kebanyakan kita sekarang. Mendapat inspirasi daripada gambar dan kisah ini, penulis terkenal kesusasteraan agama yang memberi inspirasi, Helen Steiner Rice menggubah sajak dengan tajuk sama ‘Tangan Yang Berdoa’ yang seterusnya menjadi kad salam paling popular pernah ditulis. Di bawah adalah beberapa petikan:
“Tangan yang begitu berparut dan bergerutu ini
menceritakan kisah seorang lelaki
dengan bakat yang dikorbankan
selaras dengan rancangan Tuhan.
Kerana dalam rancangan Tuhan ada banyak perkara
yang tidak dapat difahami manusia.
Namun kita mesti percaya kepada pertimbangan Tuhan
dan dibimbing oleh tangan-Nya.
Kadang-kala Dia meminta kita melepaskan
impian kita untuk mengecapi kebahagiaan.
Kadang-kala kita mesti melepaskan harapan kita
Mengenai kekayaan dan kejayaan.
Namun orang yang melakukan pengorbanan
agar orang lain boleh berjaya
nyata seorang murid yang sejati
kepada kredo Penyelamat kita yang abadi.
Apabila kita menyerahkan diri
dalam pengorbanan dan kasih
kita sedang mengumpul harta yang lebih
dalam kerajaan Tuhan di syurga.
Bagi sebarang pengorbanan di bumi
yang dibuat dalam nama Tuhan
menjaminkan tempat bagi si pemberi
dalam ‘Dewan Kemasyhuran Syurga’.
Tangan yang disatukan itu melambangkan doa, yang begitu penting sekali untuk memupuk kehidupan rohani kita. Tangan yang kasar dan bergerutu mencerminkan kehidupan kita yang dijalani dengan pekerjaan, kasih-sayang dan pelayanan, iaitu satu bahagian penting dalam perjalanan kita sebagai Kristian. Sebenarnya Vatican Kedua memberi amaran kepada kita “ada orang yang berfikir dengan salah bahawa agama hanya membabitkan amalan ibadat dan beberapa kewajipan moral. Namun kehidupan kita yang beriman dan kehidupan kita seharian tidak boleh dipisahkan seperti ini. Ia adalah satu kehidupan.” (Gereja dalam Dunia Moden, 43). Malah ia memberi amaran, umat Kristian yang “mengabaikan kewajipan mereka di bumi, mengabaikan kewajipan mereka kepada sesama manusia lain, dan malah kepada Tuhan:”.
Semasa saya menjadi Pelayan Ekaristi pada masa lalu di Kuching, saya sering tersentuh apabila lelaki dan wanita tua, dengan muka yang berkedut dan dimamah keadaan cuaca yang teruk menghulurkan tangan yang berparut dan bergerutu untuk menerima Tuhan. Mereka membawa kepada Ekaristi semua kesakitan dan pergolakan hidup yang dicurahkan dalam pelayanan kepada keluarga dan masyarakat. Saya tidak ada keraguan bahawa seperti Franz dalam cerita kita, mereka telah “mengumpul harta yang banyak di dalam kerajaan Tuhan di syurga”. – Bro Columba Gleeson (Terjemahan)
Leave a comment