SERIAN – Guru-guru Sekolah Ahad Paroki St Theresa Serian mengadakan Majlis Ramah Tamah pada 29 November lalu di rumah Marietta Girip di Kampung Kakai bersama keluarga masing-masing. Tujuan majlis tersebut adalah untuk menghargai sumbangan para guru Sekolah Ahad sepanjang tahun 2009.
Stephen Pasin selaku Penyelaras Sekolah Ahad memberi ucapan alu-aluan. Beliau berpuas hati dengan sokongan dan kerjasama keluarga guru-guru Sekolah Ahad. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Marietta Girip, Puan Jinep dan rakan-rakan lain kerana menyediakan makanan.
Dalam ucapannya selaku penasihat kepada guru-guru Sekolah Ahad, Father Paul Herry berpuas hati dengan kelancaran program Sekolah Ahad.
Hari itu juga merupakan permulaan Minggu Pertama Musim Adven dalam kalendar liturgi kita. Sehubungan itu, Fr Paul mengajak hadirin merenungkan keberkesanan persediaan mereka menyambut kedatangan Jesus ke dunia bagi kali kedua nanti (yang pasti akan berlaku).
Di majlis itu juga, hadirin meraikan ulang tahun kelahiran Sister Rowena Patrick yang ke-33.
Sister Emily dan Sister Rowena adalah dua orang sister yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran Sekolah Ahad di Paroki St Theresa.
Wilson Banyui
